Tampilkan postingan dengan label sabah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label sabah. Tampilkan semua postingan

Rabu, 13 Agustus 2014


KOTA KINABALU – Sekumpulan 20 lelaki bersenjata bertindak menculik sekumpulan nelayan dan menuntut untuk dibawa ke kawasan resort percutian di Pulau Mabul, sebaliknya telah dibawa ke sebuah kem tentera di pulau berkenaan, lapor The Star Online.

Insiden itu bermula ketika seorang nelayan berada di dalam bot miliknya sebelum didatangi sebuah bot laju dari Pulau Umadal kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Kumpulan lelaki bersenjata yang berpakaian serba hitam bersenjatakan senapang patah dan pistol kemudiannya memaksa nelayan itu naik ke bot milik mereka dan mengarahkannya membawa kumpulan berkenaan ke kawasan resort yang terdapat di Pulau Mabul.

Ketika mendekati kawasan pulau, kumpulan lelaki bersenjata itu kemudiannya terlihat beberapa kelipan cahaya lampu merah di kawasan pantai pulau di mana, nelayan berkenaan menyatakan bahawa lampu itu adalah lokasi kawasan resort.

Setelah hampir dengan kawasan pantai, kumpulan berkenaan menyedari bahawa ia adalah sebuah kem tentera dan bertindak menukar arah haluan bot yang dipandu menuju ke perairan Filipina.

Ketika bertindak demikian, kumpulan bersenjata itu kemudiannya menahan sebuah lagi bot dan menculik lapan lagi nelayan dari bot berkenaan

Selepas beberapa jam, salah seorang dari kumpulan berkenaan menyoal sembilan nelayan mengenai bangsa dan agama mereka.

Apabila diberitahu bahawa mereka berketurunan Suluk dan Muslim, kumpulan bersenjata itu kemudianya menghampiri sebuah bot lain dan mengarahkan semua tahanan itu terjun ke laut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Supritendan Mohd Firdaus Francis Abdullah mengesahkan kejadian itu yang berlaku antara jam 6.30 hingga 9.30 malam semalam.

“Kesemua mangsa adalah nelayan dari sekitar Semporna. Sebaik sahaja mereka dibebaskan dan sampai ke pantai, mereka terus melaporkan kejadian itu kepada kami.

“Kini siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui dari mana kumpulan itu berasal berdasarkan maklumat daripada nelayan yang diculik itu,” katanya. – The Star

Selasa, 24 Desember 2013


Wartawan Sinar Harian
5 Jun 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanya sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sekali lagi berhadapan dengan amnesia jika dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

"Adakah Mahathir akan mengalami serangan amnesia jika beliau muncul di hadapan RCI Sabah?" kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Dengan nada menyindir, Kit Siang berkata, Dr Mahathir yang terkenal dengan masalah memori ketika inkuiri suruhanjaya siasatan video Datuk V.K.K Lingam empat tahun lalu telah beberapa kali mengatakan bahawa saya tidak ingat.
Kit Siang mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dibuat semalam.

Ahli Parlimen itu berkata, tidak diragui bahawa individu yang mempunyai maklumat yang terbanyak berkenaan isu pendatang asing, yang menjadi pertikaian sejak kebelakangan ini ialah Dr Mahathir.
"Khususnya Projek Kad  Pengenalan yang diketahui ramai," katanya lagi.
"Adakah Mahathir boleh memberikan jaminan bahawa beliau tidak berhadapan dengan satu lagi amnesia apabila disoal siasat oleh RCI di Sabah sebagaimana berlaku ketika Suruhanjaya Diraja Rakaman Video Lingam pada 2008?" katanya.

Dalam kenyataanna, Dr Mahathir juga berkata beliau tidak gentar dengan dakwaan Kit Siang untuk mendedahkan apa yang dikatakan skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya.
Dr Mahathir berkata, Kit Siang boleh berbuat apa sahaja sekarang juga untuk membuktikan berlakunya skandal kewangan sepanjang pemerintahan beliau.

Minggu, 22 Desember 2013

Harakahdaily

Anis Nazri, 21 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perkembangan berhubung keberkesanan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah, biarpun sudah lima bulan ia ditubuhkan.

Malah, masalah berkaitan projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu didakwa bukan hanya berlaku di Sabah sahaja, sebaliknya wujud di negeri lain juga.

Dakwaan tersebut dibuat ahli parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Md. Ramli, ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa terdapat beberapa insiden permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan amat mudah dan segera diberikan.

"Mereka itu berada tidak cukup lama untuk dianugerahkan kad pengenalan. Ada yang (kerja) tukang sapu pun, dapat warganegara. Begitu mudahnya jadi warganegara. Dan kita ada masalah di negeri lain," kata beliau.

Bagaimanapun dakwaan Dr. Hatta itu disanggah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk VK Liew dengan mengatakan tugas RCI telah bermula, namun masih di peringkat prosedur mesyuarat untuk menentukan individu yang dipanggil sebagai saksi dalam inkuiri.

Mengakui masalah itu wujud sejak empat dekad lalu di Sabah, Liew berkata pihaknya mengharapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan meminta diberi peluang dan sedikit masa untuk RCI melaksanakan kerja mereka.

Dr. Hatta, dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia meluaskan skop siasatan RCI kepada pendatang asing di Sabah kepada negeri lain di semenanjung.

Menjawab soalan tersebut, Liew berkata kerajaan tidak bercadang untuk meluaskan skop siasatan RCI mengenai projek pemberian kad pengenalan kepada warga asing selain daripada negeri Sabah.

Liew berkata skop siasatan itu kekal kerana masalah pemberian kad pengenalan kepada warga asing ini tidak wujud di negeri-negeri Semenanjung
Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!